26-9-13-1
This is a very interesting article. Aku setuju sangat dengan Dr Amran Kasimin yang telah menulis rencana ini. Pendek kata, sepatutnya cukuplah dengan agama yang memainkan peranan membentuk sahsiah seorang muslim yang akhirnya akan membentuk akidah dan sikapnya secara umum. Tetapi, kemungkinannya ada banyak possibilities yang menyebabkan seorang muslim itu bersikap yang kadang-kadang bercanggah dengan ajaran Islam itu sendiri atau sunah Rasul. Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut:
Janji dan kesabaran
SOALAN: Sebenarnya, saya rasa serba salah hendak meluahkan perasaan dan pengalaman ini, tetapi akhirnya saya mengambil keputusan bertanya di ruangan ini. Saya telah ke Mekah, untuk haji juga umrah sebanyak lima kali. Banyak masalah ketika beribadah sebagai tetamu Allah, di mana kita disuruh untuk bersabar. Tetapi kesabaran itu lahir dari yang sebahagian besarnya seumpama disengajakan, yang sepatutnya tidak berlaku. Hukum agama supaya bersabar, Allah beserta orang yang sabar itu dijadikan batu pengalas untuk terus menerus melakukan kecuaian, lalai dan untuk kepentingan diri sendiri.
Dan baru-baru ini saya dijanjikan tempat tinggal di hotel empat bintang di Mekah ketika mengerjakan umrah. Setibanya di Mekah, saya ditempatkan di hotel yang tidak ada nama. Kita jadi serba salah, tetapi tetap bersabar. Kita sabar dan faham banyak hotel dirobohkan tetapi keadaan ini tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menaikkan kos, pada hal khidmatnya berunsur penipuan dan kita masih tetap disuruh bersabar.
– Kembara, KK
JAWAPAN: Pengalaman saudara memang ada kebenarannya. Walaupun hukum ‘sabar’ itu diperalatkan untuk menutup kelemahan, menaikkan kos atau keuntungan lebih, tetapi nampaknya jalan lain seumpama tidak ada, kecuali sabar. Biar apa latar belakang yang menyebabkan berlaku masalah, Allah tetap bersama orang yang sabar. Tidak kira masalah itu dibuat kerana kecuaian, disengajakan atau memang sesuatu yang mendatang tidak dapat dielakkan.
Dalam satu perjalanan menunaikan umrah, kapal terbang yang kami naiki selamat terus ke Madinah. Setelah turun, kumpulan kami menunggu bas untuk ke hotel hampir tiga jam. Berdasarkan pengalaman lepas ketidaktepatan masa ketika di tempat seperti ini sesuatu yang biasa. Banyak faktor menyebabkan berlaku masalah ini. Malah ketika bas sudah sedia menunggu pun, masa untuk bertolak selalunya memakan masa lebih dari satu jam.
Bas sampai. Setelah lebih tiga jam menunggu, saya berazam kali ini untuk beribadah sebaik mungkin, jangan menyakiti hati orang lain, jangan bertengkar. Tetapi setelah berada lebih tiga jam, rasa bosan itu menguasai pemikiran.
Saya menghampiri seorang lelaki muda yang turun dari bas, bertanyakan kenapa bas lambat. Beliau menjelaskan kapal terbang dari Malaysia lambat. Pihak yang mengurus pengangkutan tidak diberitahu. Bas menunggu sebelum ini tetapi balik apabila kapal terbang lambat. Apa yang berlaku bukan salahnya.
Memang benar kapal terbang terlambat. Saya tidak terfikir pihak berkenaan tidak memberitahu kelewatan tersebut. Saya tidak memanjangkan pertengkaran dengan lelaki ini. Dalam apa keadaan pun, kami telah menunggu lebih tiga jam. Bas sudah di depan mata, biarpun jemaah belum masuk dalam bas.
Akhirnya lelaki ini terus berbual sementara menunggu semua beg dimasukkan dalam bas dan penumpang berada di tempat duduk. Saya hendakkan lelaki yang kelihatan baik itu bersifat jujur, sebagai seorang Islam dan arif tentang hukum. Saya mahu tahu kenapa bas lambat. Dengan senyum dan muka selamba, beliau menjelaskan, sebenarnya dia tertidur. Perkara biasa penduduk tempatan tidur waktu tengah hari.
Satu petang saya membeli jubah yang sederhana harganya selepas sembahyang Asar dari sebuah kedai, tidak jauh dari Masjidil Haram. Penjual jubah menjelaskan kalau jubah tidak sesuai, kecil atau besar, ia boleh ditukar. Dia sedia menerimanya seperti biasa dengan senang hati. Setelah mencubanya, jubah ini terlalu besar, tidak sesuai.
Esoknya, selepas sembahyang Subuh, saya ke hotel mengambil jubah dan menuju ke kedai berkenaan. Penjual ini tidak mahu menukar jubah biarpun dia mengakui jubah itu dibeli di kedainya.
Kalau hendak menukar dengan jubah lain, saya kena datang hari berikutnya kerana penjual yang menjual jubah pada saya akan ada hari itu. Dia tidak boleh menukarnya kerana jubah tersebut bukan dibeli daripadanya.
Saya menjelaskan yang saya tidak dapat menunggu hingga esok kerana hendak ke Madinah. Penjual itu tetap tidak mahu menukar jubah lain, menyebabkan berlaku pertengkaran. Akhirnya saya berkata: ‘‘Tak apa. Jubah ini bukan mahal sangat, saudara ambil,’’ sambil menambah “lakin haram ‘alaik.” Saya tidak tahu, sama ada penjual ini marah kerana “haram ‘alaik” atau kerana sifatnya yang kasar, jubah tadi dicampaknya ke atas jalan raya.
Menggeleng
Saya menapak keluar menggeleng kepala. Inilah kali pertama dalam hidup saya membeli baju, berhampiran dengan Masjidil Haram, dilempar keluar di atas jalan raya. Sesuatu yang tidak pernah terfikir dalam pemikiran, itupun masih tetap disuruh bersabar. Dan Allah tetap bersama orang yang sabar.
Bila saya kenang-kenang apa yang berlaku, saya teringat satu peristiwa ketika belajar di Aberdeen Scotland. Ketika berada di sebuah kedai yang pernah saya masuk, perempuan separuh umur menyapa, “you come again!” Senyumnya meleret panjang. “Yes if you don’t mind!” Jawab saya ringkas. “Yes, yes please come ini”. Penjual di kaunter hadapan mudah mengenali kami sekeluarga biarpun kami baru kali kedua ke kedai itu.
Aberdeen kota kecil. Kedatangan kami suami isteri dan tiga anak termasuk seorang anak kecil adalah sesuatu yang agak luar biasa kerana bilangan kami dianggap ramai. Orang Scotish mempunyai seorang dua anak sahaja.
Saya tertarik kepada deretan gelas yang begitu cantik. Di sebelah kanan ditulis harga 30 paun, manakala di barisan lain, harga 50 paun. Saya perhatikan gelasnya sama tidak ada beza, yang berbeza hanya harganya.
Saya bertanyakan kenapa harga berbeza. Beliau menjawab, yang murah itu stok lama, yang mahal itu stok baru. Saya menjelaskan yang saya mahukan stok lama. Beliau menjawab “up to yor sir, you are welcome!” Sambil membungkus dengan surat khabar tebal, penjual ini merendah diri, beliau hanya pekerja dan menunaikan hak pengguna.
Ketika keluar dari kedai, saya terfikir, alangkah baiknya kalau setiap orang bersifat jujur dan ikhlas, tidak menyusahkan orang. Yang penting ialah peniaga-peniaga di Malaysia perlu mengikut contoh pekedai ini.
Di Malaysia kerajaan baru berura-ura menaikkan gaji, harga barangan sudah naik pada esok harinya. Apabila harga minyak naik, segala-galanya naik melambung, menyebabkan nilai wang rendah. Berlaku sorok menyorok barang keperluan bagi mengaut untung. Itupun kena sabar, pengguna kena sabar kerana kesabaran itu bukan mesti berada di Mekah. Sorok menyorok ini pun merupakan masalah yang disengajakan.
Beberapa hari sebelum balik ke Malaysia, saya masuk ke sebuah kedai terletak betul-betul di tepi Masjididl Haram. Kedai ini penuh dengan al-Quran, kitab-kitab agama dan lain-lain. Penjualnya bukan penduduk asli tempatan tetapi bahasa Arabnya begitu fasih.
Setelah mengambil tiga buah kitab, saya menghulurkan 200 rial. Lelaki itu mengambil wang tersebut, lalu mengambil dompetnya seperti mengeluar dan mengira wang dalam dompet. Lebih kurang 10 minit berbuat demikian, saya minta baki dan dia memulangkan 75 rial, pada hal harga tiga buku, 25 rial.
Saya pasti wang yang saya hulurkan ialah 200 rial. Dia tetap berkeras menyatakan saya hanya memberi 100 rial, kalau tidak percaya boleh periksa beg duitnya yang masih di tangan. Dia bersumpah hanya menerima 100 rial bukan 200 rial seperti yang didakwa.
Apa patut saya buat apabila berhadapan masalah atau fenomena seperti ini? Tidak ada benda boleh buat, kecuali sabar. Lelaki yang melempar jubah saya ke jalan raya memberi amaran akan memanggil polis kalau saya berkasar. Saya akan dimasukkan ke dalam jel, akhirnya tidak dapat pergi ke Madinah.
Saya selalu terfikir, bahawa apa yang saudara luahkan di sini ada kebenarannya. Tetapi persoalan yang selalu ada dalam benak kepala saya, bagaimanakah seorang Islam, yang berpuluh tahun tinggal di Mekah, berdasarkan pertuturannya seperti penduduk tempatan, kedainya menjual kitab-kitab, kitab mukjizat baginda SAW, iaitu al-Quran, kedainya di di tepi Masjidil Haram, masjid yang disanjung oleh semua umat Islam, berhampiran dengan Kaabah, boleh menipu seorang saudara sesama Islam yang menjadi tetamu Allah.
Terfikir dalam pemikiran saya, bahawa maklumat atau pengetahuan agama sahaja tidak mencukupi untuk membentuk kemuliaan diri seseorang.
Pada pengamatan kasar, apa kurangnya pengetahuan agama bagi seorang yang fasih berbahasa Arab, tinggal berhampiran Masjidil Haram, menjual al-Quran, kitab agama, tinggal di tempat suci tetapi masih menipu biarpun hanya 100 rial. Berani bersumpah dengan menyebut nama Allah dan Rasul.
Berbanding dengan perempuan separuh umur yang menjual kristal, bersifat jujur, menjual harga yang terlalu berbeza pada benda yang sama. Sekiranya penjual ini mahu meletakkan harga kristal berkenaan sama, ia boleh melakukan tanpa dapat dikesan atau disedari adanya penipuan.
Syahsiah
Rupa-rupanya pengetahuan agama semata-mata tidak berupaya membentuk manusia bersikap jujur. Selain pengetahuan agama, syahsiah seseorang akan terbentuk oleh masyarakat yang bertamadun di mana ia hidup atau berada. Saya pernah membuat temu janji untuk ke klinik melalui telefon di Aberdeen, Scotland. Kakitangan klinik berkenaan meminta saya datang pukul 3 petang, biarpun pada asalnya saya minta untuk datang pukul 9 pagi. Lima minit sebelum 3 petang, pintu masih tertutup rapat. Pintu bangunan mesti ditutup sentiasa, kerana musim sejuk. Tepat pukul 3 petang, pintu dibuka. Seorang jururawat keluar, “Mr. Kasimin!” “Yes” saya menjawab. “Come in please!” sambil membongkok badannya tanda hormat, ia meminta saya masuk.
Saya benar-benar kagum dan bangga kerana segala-galanya berjalan baik. Saya mengambil kesimpulan bahawa apabila seseorang itu dapat menepati janjinya, janji bertemu, mesyuarat, menunaikan hutang atau janji kekasih kepada kekasihnya, maka urusan lainnya akan berjalan dengan mudah, kerana kelakuan seseorang itu adalah pancaran atau gambaran tingkah lakunya.
Fenomena ini berbeza dengan pengurus bas yang memberi alasan kelewatan penerbangan yang tiba di Madinah, menyebabkan bas yang bakal membawa jemaah ke hotel lewat lebih tiga jam. Kerana sifat takutkan Allah masih tersemat dalam jiwa, akhirnya dia mengaku bas lewat kerana dia tertidur. Tabiat semula jadi penduduk tempatan tidur ketika panas terik di atas kepala.
-Dr. Amran Kasimin, Janji dan Kesabaran, Mingguan Malaysia, 31/8/2008